Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Kerangka perundangan sedia ada khususnya dalam mendepani isu penghinaan kepada agama dan memperlekeh institusi raja-raja, wajar dinilai semula supaya ia dapat diperkukuh sesuai dengan cabaran zaman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebebasan bersuara mesti terus dihormati, tetapi ia tidak boleh menjadi lesen menghina agama, memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu atau merosakkan asas keharmonian negara.

Beliau berkata, keresahan orang Melayu hari ini semakin mendalam apabila kesucian Islam dan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu berulang kali disentuh secara terbuka.

“Daripada isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), penghinaan terhadap kalimah Allah, jenaka ‘ham and cheese’ yang meremehkan halal, isu (anggota bomba) Allahyarham Muhammad Adib, bantahan terhadap laungan azan.

“Hinggalah kepada perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam semuanya mengguris hati dan menimbulkan persoalan besar tentang nilai hormat terhadap asas negara,” katanya berucap pada program ‘Musyawarah Nasional – Keresahan Bangsa Melayu : Apakah Penyelesaiannya’ di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman. 

Lebih membimbangkan, katanya, apabila muncul tindakan biadab menghina institusi Raja-Raja Melayu, termasuk menyamakan wajah Sultan Selangor dengan imej haiwan. 

“Ini bukan sekadar gurauan melampau, tetapi penghinaan terbuka terhadap institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara. Perbuatan sebegini jelas melampaui batas adab, budaya dan prinsip hormat yang menjadi asas keharmonian masyarakat.

“Islam ialah agama Persekutuan. Raja-Raja Melayu payung kedaulatan. Maka apabila dua tiang seri ini diganggu, keresahan rakyat tidak boleh dianggap kecil. Ia mesti ditangani dengan tegas, adil dan berhikmah agar maruah agama, institusi negara dan keharmonian nasional dapat terus terpelihara,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pendidikan masa depan tidak boleh sekadar melahirkan kelulusan, ia mesti melahirkan keupayaan, di mana anak muda Melayu mesti dibina dengan ilmu, kemahiran, daya cipta dan keyakinan untuk berdiri dalam ekonomi baharu.

“Realitinya, sekitar 35.8 peratus atau 1.96 juta graduan lepasan pendidikan tinggi bekerja dalam bidang separa mahir atau pekerjaan berkemahiran rendah yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka. 

“Ini menunjukkan isu pendidikan bukan lagi sekadar akses kepada universiti, tetapi kesepadanan antara ilmu, kemahiran dan keperluan industri,” katanya.

Juga meresahkan kata beliau apabila Sekolah Kebangsaan (SK) semakin lemah sebagai ruang pembinaan negara bangsa dan isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) terus membelenggu perdebatan pendidikan negara. 

“Namun di sebalik kegelisahan ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mesti tampil sebagai laluan baharu mobiliti sosial Melayu, bukan pilihan kedua, tetapi jalan utama melahirkan tenaga mahir, teknologis, usahawan dan pencipta nilai baharu negara,” katanya.-BH Online