TASEK GELUGOR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM700,000 bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Guar Petai, di sini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sebanyak RM 500,000 diperuntukkan bagi Program Kampung Angkat MADANI manakala RM100,000 pula diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, Tasek Gelugor bagi pembangunan serta menaik taraf kemudahan sekolah berkenaan.
Selain itu, KPKM turut menyediakan tambahan RM100,000 bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian untuk pelajar sekolah.
Mohamad berkata, Kampung Angkat MADANI bukan sekadar program simbolik, sebaliknya pendekatan menyeluruh kerajaan melalui konsep ‘whole of government‘ bagi memastikan pelbagai agensi dan kementerian bergerak secara bersama demi manfaat rakyat.
“Program Kampung Angkat MADANI ini bukan program suka-suka. Ini bukan program letak papan tanda, ambil gambar, kemudian semua balik dan habis cerita. Tidak.
“Tetapi ia mesti memberi kesan kepada rakyat. Kalau jalan rosak, kita tengok. Kalau kemudahan awam perlu dibaiki, kita usahakan.Kalau komuniti perlu dibantu, kita bantu.
“Kalau anak muda perlukan latihan,kita buka peluang. Kalau kampung ada potensi pertanian, kita gerakkan.
“Kerja kerajaan ini macam gotong-royong juga. Kalau seorang sahaja angkat meja kenduri, patah pinggang. Tapi kalau semua pakat angkat, ringan jadinya. Begitulah kerajaan. Kalau semua agensi bekerja bersama, rakyat dapat manfaat lebih cepat,” katanya selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan MPKK Kampung Guar Petai, di Kampung Guar Petai, pada Jumaat.
Mohamad berkata, antara projek yang dilaksanakan termasuk kerja penurapan dan naik taraf jalan kampung sepanjang kira-kira satu kilometer, membaik pulih rumah usang, mendalam serta melebarkan longkang dan kerja-kerja memangkas pokok.
Turut dilaksanakan ialah kerja-kerja keceriaan masjid melibatkan pengecatan, penurapan kawasan parkir, pemasangan lampu, papan tanda serta enam unit tiang lampu solar.
Sementara itu, SK Padang Menora yang menjadi sekolah angkat MADANI menerima lima unit penyaman udara, komputer meja dan mesin pencetak.
Selain itu, kerja menaik taraf insfrastruktur termasuk membaik pulih tandas murid, pemasangan kipas siling, penggantian pintu kelas dan tandas akan turut dilaksanakan.
Sekolah berkenaan juga menerima sebuah papan pintar untuk Studio Digital, 20 unit televisyen pintar bagi kegunaan dalam kelas serta pemasangan paparan LED dan papan tanda sekolah.
Dalam masa sama, bagi memperkasakan generasi muda dalam bidang pertanian moden, KPKM turut menyediakan tambahan RM100,000 ribu ringgit bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET Pertanian kepada pelajar sekolah.
Terdahulu, program turut dimeriahkan dengan Jualan Agro MADANI melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus kepada pengunjung.
Pada program itu juga pihak Agrobank turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM20,000.00 kepada golongan yang memerlukan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Jabatan Pertanian turut mengagihkan sebanyak 500 anak pokok kepada Komuniti Kampung Guar Petai bagi menggalakkan aktiviti pertanian dan tanaman makanan di peringkat isi rumah.-Astro Awani
