Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kajian empirikal pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya kini sedang dilakukan di Ottawa, Kanada bagi mengenal pasti model yang sesuai untuk Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang ketika ini bersama delegasi Malaysia menjalankan kajian terperinci mengenai konsep diamalkan di Kanada, berkata inisiatif itu untuk mendapatkan keterangan secara terus dan sebagai rujukan amalan terbaik.

Katanya, kajian empirikal itu dimulakan dengan sesi rundingan meja bulat pakar anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama University of Ottawa dan Universiti Malaya (UM).

“Ia untuk memudah cara dialog mengenai struktur dan fungsi peguam negara dan pendakwa raya yang diamalkan di Malaysia dan Kanada. Selain pakar akademik, ahli panel dalam sesi itu juga terdiri wakil pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan 

null

“Usai sesi rundingan meja bulat, saya dan delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dalam satu mesyuarat bersama Menteri Kehakiman dan Peguam Negara Kanada, Arif Virani di pejabat beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Delegasi Malaysia, katanya, menggunakan peluang pertemuan itu untuk memahami proses pemisahan kuasa yang dilalui Kanada seperti tahap pengasingan kuasa, peranan dan fungsi peguam negara serta pendakwa raya serta isu berbangkit pasca pemisahan.

“Selain itu, persoalan utama iaitu faktor yang mendorong kerajaan Kanada melaksanakan pegasingan kuasa pada 2006,” katanya menambah pihak sekretariat bertanggungjawab menyediakan satu laporan selepas kajian empirikal dilaksanakan di sesuatu negara.

“Ini penting kerana laporan itu akan membentuk komponen utama dalam laporan interim dan laporan akhir kajian ini yang akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Kajian empirikal ini bukti jelas komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi memastikan tadbir urus terus dipertingkatkan untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.-BH Online