Sorting by

×

Malaysia berhasrat memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’ kepada negara dagang sawit yang secara langsung membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa negara ini sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata langkah itu sebagai strategi diplomasi dan Malaysia akan menjadikannya sebagai hadiah kepada rakan dagang selain mengukuhkan hubungan luar, terutama dengan negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah (EU), India dan China.

“Dengan memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’, ia secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti,” katanya dalam hantaran di laman X selepas merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia, semalam.

Beliau berkata, banyak rakan dagangan dunia semakin bimbang mengenai kesan komoditi pertanian terhadap iklim dan Malaysia boleh membuktikan kepada masyarakat global bahawa ia sentiasa menjaga keseimbangan di antara memenuhi keperluan keselamatan makanan dan menjaga alam sekitar.

Justeru, katanya, Malaysia berhasrat mewujudkan ‘diplomasi orang utan’ seperti China yang berjaya mewujudkan pelbagai ‘diplomasi panda’ kepada banyak negara.

Johari berkata, Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan defensif dalam isu minyak sawit, sebaliknya perlu menunjukkan kepada negara di dunia bahawa Malaysia adalah pengeluar sawit yang mampan serta komited menjaga hutan dan kelestarian alam.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan syarikat besar sawit bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan bagi menjaga, memelihara dan memberi kesedaran kepada rakan global di samping menyediakan kepakaran teknikal mengenai spesies hidupan liar yang ikonik di Malaysia.

“Ini akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara spesies hidupan liar dan mengekalkan kemampanan hutan kita, terutamanya dalam landskap perladangan kelapa sawit,” katanya.-BH Online