Sorting by

×

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menandatangani 14 kontrak dengan syarikat tempatan membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.156 bilion sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 12 daripada 14 kontrak berkenaan ditandatangani tiga agensi bawah KDN, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan nilai RM1.57 bilion, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (RM529.66 juta) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (RM52.35 juta).

Berhubung kontrak dimeterai JPN, beliau berkata, ia akan memastikan JPN terus kekal sebagai agensi sangat penting untuk menyimpan rekod dan data rakyat Malaysia.

“Kontrak-kontrak berkenaan membuktikan usaha berterusan KDN membabitkan agensi bawah kawal selianya. Jika kita perhatikan, segmen kontrak yang ditandatangani terdiri daripada segmen teknologi maklumat, logistik, ia juga dari segi peningkatan aset dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak KDN pada Pameran DSA dan NATSEC, di sini, hari ini.

Selain itu, antara kontrak berimpak tinggi ditandatangani ialah perolehan kapal pengangkut kelas ‘police transport vessel’ pelbagai kegunaan sebagai pengangkut barang, kapal induk (mother ship) dan latihan bagi PDRM, serta empat helikopter ‘medium lift’ bagi APMM.

Antara syarikat tempatan yang menandatangani kontrak terbabit adalah TM Technology Services Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd. – BERNAMA