Sorting by

×

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan diarah melakukan kerja-kerja memangkas dan memotong dahan pokok yang sudah tua, bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti insiden pokok tumbang yang meragut nyawa di ibu negara, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beliau akan mengeluarkan arahan itu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, Jumaat ini.

“Saya akan meminta supaya PBT ‘trim’ pokok bagi mengelakkan pokok tumbang atau dahan patah ketika angin kuat. Ini semua fenomena yang perlu diperhatikan, terutama oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keselamatan dan kehidupan rakyat di sekeliling terjamin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri MBI Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau yakin dan percaya PBT di negeri ini sudah mengambil iktibar daripada kejadian puluhan pokok dilaporkan tumbang ketika hujan lebat di Shah Alam dan sekitar Sungai Buloh kira-kira tiga tahun lalu.

Kejadian pokok tumbang kira-kira jam 2 petang semalam di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, menyebabkan seorang maut dan dua lagi cedera.-BH Online