Sorting by

×

Keadaan kesihatan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, masih membimbangkan dan memerlukan rawatan rapi di Institut Jantung Negara (IJN).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata beliau dimaklumkan oleh keluarga Mutang berhubung keadaan terkini tokoh Orang Ulu itu.null

Justeru, Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, berkata keluarga Mutang memohon rakyat Sarawak khususnya agar mendoakan Yang Dipertua Dewan Negara itu pulih seperti sedia kala.

“Saya baru menerima maklumat bahawa keadaan kesihatan beliau memang masih serius, tidak banyak berubah selepas diterbangkan balik ke Kuala Lumpur dari Azerbaijan. Kita hanya mampu mendoakan agar beliau segera pulih,” katanya ketika ditemui di lobi DUN Sarawak, hari ini.

null

Gerawat berkata, beliau turut terkejut apabila dimaklumkan Mutang mengalami masalah kesihatan ketika mengadakan lawatan kerja ke Azerbaijan.

“Setahu saya, tahap kesihatan beliau amat baik dan beliau amat cergas, malah kami sering bermain golf bersama. Memang mengejutkan apabila mendapat tahu beliau rebah di sana,” katanya.

Semalam, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Mutang yang berasal dari Lawas menerima rawatan di IJN sebaik tiba di Malaysia dari lawatan kerja di Azerbaijan pada Selasa.

Mutang, 70, Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 pada 18 Februari lalu, gus menjadikan beliau pemimpin pertama etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan itu.

Beliau memiliki ijazah sarjana pengurusan perniagaan dari Curtin University dan kini memegang beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).-BH Online