Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebuah pesawat ringan bagi tujuan latihan terhempas di kawasan ladang dekat Sungkai di sini, pagi tadi. 

Dua individu berada di dalam pesawat jenis Cessna 172 itu adalah jurulatih penerbangan, Kapten Shahrul Imran berusia 30-an dan pelatih, Le Ho Jia berusia 20-an.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 9.46 pagi.

Beliau berkata, makluman awal diterima memaklumkan sebuah pesawat jatuh berdekatan Ladang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Sungkai. Pesawat jenis Cessna 172 itu dikenal pasti dari Layang Layang Flying Academy, Ipoh.

“Kedua-dua mangsa ditemukan di mana jurulatih penerbangan lelaki mengalami patah paha kiri, manakala seorang pelatih wanita cedera di bahagian muka.

“Kerja pemindahan mangsa ke jalan besar dijalankan menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 19 saat menunjukkan orang awam menemui sebuah pesawat ringan terjatuh di dalam kawasan ladang.

Video itu turut menunjukkan mangsa wanita meminta pertolongan bagi mengeluarkan seorang lagi mangsa iaitu jurulatih penerbangan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Ya, pesawat latihan, penumpang terbabit selamat,” katanya.-BH Online