Sorting by

×

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan pimpinan peringkat negeri terutama negeri pembangkang, agar menjaga tutur kata bagi membina hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menegaskan adab menjaga lisan adalah asas penting, terutama dalam membawa hasrat kerajaan negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) akan berucap (pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di Jitra) pada malam ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (juga) akan berucap. 

“Minggu lalu, saya berjumpa beliau (Muhammad Sanusi) dalam satu mesyuarat, dan saya beritahu dia: ‘hang jangan melalut macam-macam dalam ucapan’… jadi saya akan tengok malam ini.

null

“Petang nanti pun ada perjumpaan (Taklimat Pembangunan Negeri Kedah) dengan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Zahid berkata, Anwar adalah pemimpin yang baik dalam mendengar apa saja hasrat kerajaan negeri untuk kepentingan rakyat. 

Malah, Presiden UMNO itu menjelaskan, pimpinan Kerajaan Perpaduan mahu berlaku adil kepada rakyat dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang terpinggir.

“Sebelum ini, kita bagi, bagi dan bagi tetapi bila hari pengundian… ke laut. Kali ini, kita hendak beri keadilan kepada semua dan kita mahu kawasan yang terpinggir dimajukan,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata, UMNO sudah belajar daripada pengalaman dan sentiasa berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama dengan parti lain.

“Kita belajar daripada pengalaman kita, jangan dipatuk ular yang sama dan di tempat yang sama, termasuk ‘ularmak’. Saya sungguh menghormati ulama tetapi tidak menghormati ‘ularmak’.

“Pagi mereka cakap lain, petang mereka cakap lain… saya pernah bersama mereka dalam Muafakat Nasional (MN),” katanya.-BH Online