Sorting by

×

Sebanyak 15,753 aduan kepenggunaan diterima di seluruh negara, termasuk 7,711 kes melalui platform Aduan Suri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata jumlah aduan tertinggi diterima menerusi platform Aduan Suri adalah berkaitan transaksi dalam talian membabitkan 2,105 kes, diikuti aduan mengenai harga (1,978 kes) dan perkhidmatan mengelirukan (1,342 kes).

“KPDN turut menerima Aduan Suri daripada golongan lelaki, iaitu hampir 50 peratus. Ia adalah saluran paling popular setakat ini dan mudah digunakan. Sebanyak 95 peratus aduan diselesaikan dan bakinya masih dalam tindakan kementerian,” katanya pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Centrio, Seremban 2, di sini, hari ini.

Di Negeri Sembilan, beliau berkata, sebanyak 479 aduan direkodkan termasuk 217 melalui Aduan Suri, dengan 93 peratus telah diselesaikan dan selebihnya masih dalam tindakan kementerian.

Katanya, jumlah aduan tertinggi melalui Aduan Suri di Negeri Sembilan adalah berkaitan harga barangan (135 kes), transaksi dalam talian (123 kes) dan perkhidmatan mengelirukan (58 kes).

Pengguna boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan peniaga kepada KPDN melalui pelbagai saluran seperti QR Kod Aduan Suri, WhatsApp (019-279 4317 / 019-848 8000), aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN dan portal aduan kementerian. – BERNAMA