Sorting by

×

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin peningkatan gaji penjawat awam akan membantu meningkatkan tahap kecekapan jentera kerajaan, sekali gus mendorong kemasukan pelabur yang secara tidak langsung turut meningkatkan hasil pendapatan negara.

Memberi contoh pengumuman pelaburan RM10.5 bilion oleh Microsoft Corporation di Malaysia beberapa hari lalu, Perdana Menteri berkata ia bukti keyakinan pelabur terhadap negara.

“Saya percaya kalau jentera kita itu cekap dan baik, maka dengan sendirinya orang (pelabur) datang seperti Microsoft yang pada dua hari lalu mengumumkan pelaburannya di Malaysia RM10.5 bilion.

“Empat hari lalu pula ketika saya berjumpa Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, syarikat ACWA Power (syarikat gergasi tenaga boleh baharu berpangkalan di Arab Saudi) akan melabur dengan PETRONAS yang juga mencecah angka RM10 bilion.

“Ia (mereka berani melabur) disebabkan politik stabil, negara aman… jasa siapa lagi membuatkan negara aman kalau bukan badan penguatkuasaan pertahanan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga PDRM selepas menyaksikan penyerahan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Hadir sama menyaksikan penyerahan kem yang pembinaannya bermula 2018 dengan kos RM236 juta itu dan mendapat sijil siap kerja pada 14 Februari lalu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut kesan kenaikan gaji kepada penjawat, Perdana Menteri berkata ia akan menjadikan golongan itu lebih berdisiplin dan bersemangat untuk menjalankan tugas, termasuk menghindari ketirisan dan rasuah.

Semua faktor itu, katanya, semestinya akan mendorong kemasukan lebih banyak pelabur luar, sekali gus membantu meningkatkan hasil negara.

Anwar bagaimanapun mengakui sedar ada pihak tertentu yang mempertikai kebijaksanaan kerajaan melaksanakan pemberian berupa peningkatan kadar gaji lebih 13 peratus seperti diumumkannya pada 1 Mei lalu, dalam keadaan Malaysia kini menghadapi kekangan ekonomi. 

“Jawapan saya, urusan ekonomi tanggungjawab bersama. Tetapi kalau kita beri tahap pengiktirafan, tunjuk ehsan dan kasih sayang serta hormat kepada penjawat awam, pekerja, polis, tentera dan semua jentera kita dengan disiplin, mengelakkan ketirisan dengan banteras rasuah, maka saya percaya negara ini akan dapat keberkatan dengan hasil yang lebih baik. 

“Betul, kerajaan harus tampung, cari (perbelanjaan tambahan). Tetapi saya percaya kalau jentera kita itu cekap dan baik maka dengan sendirinya orang (pelabur) datang…,” katanya.

Anwar berkata, biarpun kerajaan mewarisi hutang negara dalam angka besar, tanggungjawab menjaga dan membela nasib penjawat awam termasuk warga PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang umumnya menggalas tanggungjawab besar untuk menjamin keamanan dan keselamatan negara tidak akan diabaikan.

Sebab itu beliau berkata, dalam kerangka kerajaan mengkaji skim penjawat awam ini, usaha meneliti beberapa aspek yang dirasakan dipinggirkan sebelum tidak ditinggalkan dan diberi perhatian walaupun kerajaan dan negara warisi hutang besar.

“Yang melakukan jenayah rasuah, ketirisan, pembaziran ini jumlahnya kecil dan kalau seluruh jentera, pasukan, kekuatan dan jentera penguatkuasaan tegas, maka saya percaya kita boleh hindar. 

“Inilah tekad saya, sebab itu saya ambil keputusan ini (naikkan gaji penjawat awam) walaupun untuk tahun depan ia bermula dengan kos sekitar RM10 bilion tambahan dan akan meningkat untuk beberapa tahun ke depan.

“Kalau semangat ini dilakukan, saya percaya dalam beberapa tahun akan datang Malaysia ini akan menjadi di antara negara yang hebat di rantau kita, dihormati kerana kecekapan, keselamatan, serta kebangkitan dan dari sudut pemacuan ekonomi yang segar. Itulah doa kita,” katanya.-BH Online