Sorting by

×

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan awal sebanyak RM200,000 kepada masyarakat Sikh di Perak, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata peruntukan itu bertujuan bagi keperluan kebajikan termasuk pendidikan murid daripada masyarakat minoriti berkenaan.

“Ya, Melayu Bumiputera adalah majoriti, bahasa (Melayu sebagai bahasa kebangsaan), (kedudukan) raja, Islam (sebagai agama Persekutuan), namun negara ini mesti melindungi hak setiap warganya.


“MADANI ini ada empati dan kemanusiaan. Saya seorang Muslim, tapi saya tahu untuk memimpin Malaysia perlu ada ihsan (belas kasihan).

“Kalau ditanya umpamanya apa kerajaan boleh bantu untuk memberikan ruang kepada anak-anak belajar dalam bahasa ibunda, selain bahasa rasmi negara, saya jawab boleh dan harus kerajaan beri pertimbangan untuk menyokong,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Vesaikhi Peringkat Perak 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Baldip Singh Randhawa Santokh Singh.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak akan bertolak ansur untuk menjadikan Malaysia negara hebat yang menerima kenyataan identiti warganya terdiri pelbagai kaum dan agama.

“Semalam, saya ada perhimpunan Islam yang besar (dihadiri) beribu orang di Perlis. Hari ini saya meraikan Vesaikhi, tiada pertentangan kerana sementara kita bawa semangat agama, mesti bawa sifat kemanusiaan dan ihsan,” katanya.

Vesakhi adalah sebuah perayaan meriah yang disambut oleh Masyarakat Sikh dan Punjabi di seluruh dunia.

la mempunyai kaitan signifikan yang mendalam dari aspek kebudayaan, keagamaan dan sejarah bagi memperingati pembentukan Khalsa Panth oleh Sri Guru Gobind Singh Ji pada tahun 1699 dan permulaan Pesta Menuai.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerancakan pelaburan asing yang masuk ke dalam negara ketika ini berkait rapat dengan kepercayaan pihak luar terhadap kestabilan dan dasar negara yang jelas.

“Dua hari lalu, Microsoft datang umumkan pelaburan RM10.5 bilion. Sebelum tu, Infineon (syarikat semikonduktor dari Jerman), bersetuju melabur 5 bilion Euro. Selain itu, ACWA Power (syarikat gergasi tenaga boleh baharu berpangkalan di Arab Saudi) labur AS$10 bilion di Malaysia.

“Ia tak jadi dengan sendiri, mereka (pelabur asing) yakin dengan sistem dalam negara yang demokratik, aman dan stabil.

“Sebab tu sekiranya negara stabil, dasar kita jelas dan kita jamin untuk bela nasib setiap rakyat negara kita, saya percaya dalam beberapa tahun, Malaysia akan terangkat semula sebagai negara gagah, hebat di rantau ini,” katanya.-BH Online