Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi pemimpin utama gerakan Hamas, Ismael Haniyeh petang Khamis yang kehilangan tiga anaknya dan empat cucu dalam serangan udara Israel semalam.
Anwar menerusi hantaran hari ini berkata, beliau mewakili seluruh rakyat Malaysia menzahirkan kecaman dan mengutuk sekeras-kerasnya ke atas rejim biadab Zionis Israel yang berterusan melakukan genosid kebencian ke atas warga Palestin.
“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan yang tinggi bersama keluarga Ismael tatkala tiga orang anaknya yakni Hazem, Amir and Mohammad termasuk empat orang cucu yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim ganas Zionis semalam.
“Kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik ini adalah amat sukar diterima oleh mana-mana manusia,” katanya yang turut berduka ke atas seluruh rakyat Palestin yang kehilangan keluarga tersayang.
Beliau turut mengecam serangan jijik rejim zionis yang membuktikan Israel tidak mempunyai keinginan untuk melakukan gencatan senjata seperti yang dituntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 25 Mac lalu.
“Israel tidak tunduk dan patuh kepada prinsip hukum dan undang-undang antarabangsa.
“Serangan kurang ajar oleh rejim pengecut Zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah,” tegasnya.
Susulan itu, Anwar mendesak komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas atas kezaliman rejim Zionis Israel.
“Malaysia sekali lagi mendesak keras komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis Israel atas kezaliman ini dan mesti bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang telah secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lampau,” katanya.-Berita RTM