FELCRA Berhad sudah mengagihkan bayaran dividen kepada lebih 70,000 peserta di seluruh negara bernilai RM74 juta bagi musim ketiga tahun lalu.
Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata dengan bayaran yang sudah dilunaskan beberapa lalu itu diharap dapat membantu meringankan beban peserta untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.
“Jumlah dividen ini bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah dunia. Pada bulan ini harga minyak sawit mentah nampak agak stabil melebihi RM4,000 bagi satu tan.
“Kita harap trend kenaikan ini berterusan bagi membolehkan dividen yang lebih banyak dapat diagihkan kepada peserta,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Bahagian UMNO Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata bagi bayaran pertama dividen 2024 pula akan mula dibayar pada Mei depan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan menyeru kerajaan negeri mengambil langkah segera dan tuntas dalam menyelesaikan masalah bekalan air menjelang Aidilfitri yang bakal disambut dua minggu lagi.
“Kepulangan perantau akan menyebabkan penggunaan air semakin meningkat, kita tidak mahu masalah air akan menjejaskan sambutan Aidilfitri,” katanya.–BERNAMA