Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Peruntukan RM22 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh keselamatan rakyat dan kedaulatan negara. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan untuk kebajikan, memperkukuh aset keselamatan, meningkatkan keupayaan kawalan sempadan serta memanfaatkan teknologi bagi membanteras jenayah menunjukkan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi.

“Negara yang aman memberi keyakinan kepada rakyat untuk menjalani kehidupan dengan tenteram, di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan, pelaburan dan pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata, pelaburan dalam kemudahan kesihatan, bantuan pengangkutan awam serta pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan membuktikan kemajuan negara mesti dirasai rakyat.

“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar jumlah peruntukan, tetapi sejauh mana ia membantu meringankan beban kehidupan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia. 

“Selain itu, prestasi pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang dinyatakan dalam pembentangan belanjawan memberikan asas keyakinan terhadap kedudukan ekonomi Malaysia. 

“Namun, kejayaan itu mesti diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan dan kos sara hidup yang lebih terkawal,” katanya. 

Beliau berkata, Belanjawan 2027 membawa mesej yang jelas iaitu rakyat mesti dibela, negara mesti aman dan ekonomi mesti terus diperkukuh. 

“Ketiga-tiga tonggak ini saling melengkapi. Kebajikan tanpa kestabilan sukar dipertahankan; keamanan tanpa kemakmuran tidak mencukupi; manakala pertumbuhan ekonomi tanpa manfaat yang dirasai rakyat belum mencapai matlamat sebenar pembangunan.

“Cabaran menanti ialah untuk memastikan setiap peruntukan dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan supaya hasilnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.

Hari ini media melaporkan, KDN dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) masing-masing menerima peruntukan RM22 bilion dalam Belanjawan 2027. -BH Online