KUALA LUMPUR: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merekodkan pelaburan RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026, manakala pembangunan koridor perdagangan utara dan sempadan Malaysia-Indonesia terus diperkukuh bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, akan melancarkan Pelan Induk serta Blueprint JS-SEZ pada penghujung tahun ini bagi memperkukuh kerjasama ekonomi kedua-dua negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Nexus Sedenak bakal menjadi hab industri baharu di bahagian utara JS-SEZ, dengan potensi pelaburan RM12 bilion dan pewujudan 45,000 peluang pekerjaan.null
“Bagi menyokong pembangunan itu, jalan dari persimpangan Sedenak akan dinaik taraf, selain penyediaan kemudahan yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan pelabuhan utama dan jaringan perdagangan serantau,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas menerusi pendekatan ‘Queen Bee’ bagi menyelaras rundingan rentas agensi untuk menarik syarikat peneraju sektor strategik melabur di JS-SEZ.
Beliau berkata, di Forest City, Skim Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) membolehkan sesebuah keluarga menguruskan dana mereka di Malaysia dengan pengecualian cukai ke atas pendapatan yang layak sehingga 20 tahun, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Katanya, model Pejabat Pelbagai Keluarga (MFO) pula akan diperkenalkan bagi membolehkan pengurus dana berlesen menawarkan perkhidmatan kepada beberapa keluarga, termasuk keluarga yang mempunyai dana SFO yang sudah diluluskan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, di utara Semenanjung, perdagangan di koridor Bukit Kayu Hitam-Sadao mencecah RM27 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan potensi perdagangan rentas sempadan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkasa lapan Zon Ekonomi Khas Sempadan (Special Border Economic Zone) bagi meningkatkan aktiviti perdagangan, menarik pelaburan dan memperkukuh hubungan ekonomi serantau.
“Antara projek yang diberi tumpuan ialah pembangunan NCT InnoSphere seluas 122 ekar sebagai hab kenderaan berat, kejuruteraan, penyelenggaraan dan logistik yang melengkapi aktiviti industri di Kulim, Kedah, serta Pulau Pinang,” katanya.
Anwar berkata, kerangka pembiayaan rentas sempadan turut dibangunkan melalui kerjasama dengan Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC) bagi mempermudah pembiayaan dan urus niaga dalam pelbagai mata wang.
Beliau berkata, selain itu, akses terus dari Pintu Timur Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam ke Inland Container Depot akan dibangunkan menerusi pelaburan swasta bagi mempercepat pergerakan kargo.
“Di Borneo pula, Malaysia dan Indonesia pula bersetuju mempercepat pembukaan semula laluan perdagangan Tebedu-Entikong, selain meneruskan penaiktarafan infrastruktur jalan di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan bagi melancarkan pergerakan perdagangan dua hala,” katanya.-BH Online

