KUALA LUMPUR: Malaysia akan memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama industri minyak sawit dengan India menerusi misi rasmi diketuai Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dari 27 September hingga 1 Oktober ini.
Misi yang diselaraskan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu bertujuan memperluas kerjasama komersial serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai tambah yang mampan serta dipercayai di pasaran India.
India pada masa ini kekal sebagai pasaran eksport minyak sawit terbesar Malaysia selama 13 tahun berturut-turut, dengan Malaysia mengeksport 2.94 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke negara itu bernilai RM14.15 bilion pada 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Kaur Sron, berkata hubungan perdagangan antara Malaysia dan India yang terjalin sekian lama terus menunjukkan potensi untuk dikembangkan, khususnya dalam sektor hiliran sawit.
“Eksport minyak sawit Malaysia ke India meningkat 40.4 peratus kepada 2.26 juta tan dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, manakala bahagian Malaysia dalam import minyak sawit India meningkat kepada 39.2 peratus. Ini mencerminkan keyakinan berterusan pembeli India terhadap kualiti, kebolehpercayaan dan kemampanan minyak sawit Malaysia.
“Misi ini akan membina momentum berkenaan serta mengenal pasti peluang baharu dalam bidang oleokimia, lemak khusus dan aplikasi produk berasaskan sawit bernilai lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Belvinder, minyak sawit menyumbang kira-kira 51 peratus daripada import minyak makan India dan 34 peratus daripada keseluruhan penggunaan minyak makan negara itu, menjadikannya minyak makan utama serta komponen penting dalam bekalan makanan India.
Misi berkenaan akan meliputi Bengaluru dan Mumbai serta merangkumi pertemuan dengan wakil kerajaan, syarikat utama, persatuan industri dan penyedia teknologi di India.
Di Bengaluru, Noraini dijadual akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Karnataka dan syarikat utama India dalam sektor makanan, barangan pengguna serta agroteknologi.
Perbincangan akan memberi tumpuan kepada peluang dalam bekalan minyak sawit, aplikasi hiliran, sumber mampan, pembangunan kelapa sawit, pertanian digital serta usaha memperkukuh hubungan antara pembekal Malaysia dan pengeluar India.
Manakala di Mumbai, beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada Globoil India 2026 pada 30 September, yang merupakan antara persidangan utama industri minyak dan lemak di India dan dijangka dihadiri kira-kira 1,500 peserta daripada seluruh rantaian nilai global.
Noraini turut dijadual mengadakan pertemuan dengan anggota kanan Persatuan Pengekstrak Pelarut India serta pemimpin industri lain bagi membincangkan perkembangan pasaran, keperluan bekalan dan peluang kerjasama jangka panjang.
Misi itu dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai keperluan pasaran India yang sedang berkembang, selain memperkukuh hubungan perniagaan antara syarikat Malaysia dan India serta mewujudkan asas bagi tindakan susulan antara pembekal Malaysia dengan rakan niaga di negara berkenaan. -BH Online

