NEW YORK: Malaysia mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak AS$1 juta (RM4.07 juta) kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) bagi membantu usaha kemanusiaan di Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sumbangan itu akan disalurkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun sehingga 2030, membabitkan AS$200,000 setahun.
“Kita perlu menyampaikan mesej jelas bahawa kenegaraan Palestin tidak boleh terus menjadi janji tertangguh.
“Oleh itu, Malaysia mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperjuangkan pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan,” katanya dalam ucapan intervensi Mesyuarat Penyelarasan Tahunan dan Menteri-Menteri Luar OIC di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia juga menggesa Israel menghentikan keganasan peneroka di Tebing Barat, pengusiran haram rakyat Palestin di Baitulmaqdis serta sebarang tindakan yang boleh mengubah identiti Baitulmaqdis dan tapak sucinya.
Malaysia juga menggesa negara anggota OIC untuk memberikan sokongan lebih besar dalam melindungi, membina semula dan memperkukuh institusi Palestin.
“Ia bagi memastikan kebertanggungjawaban terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, termasuk dakwaan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, serta menuntut pampasan yang sewajarnya untuk rakyat Palestin,” katanya
Beliau berkata, OIC berperanan mengambil langkah ke arah merealisasikan negara Palestin merdeka, berdaulat dan berdaya maju selaras dengan penyelesaian dua negara. -BH Online

