Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama pengiktirafan sijil halal bagi membuka laluan lebih lancar kepada produk halal kedua-dua negara menembusi pasaran masing-masing, sekali gus memperkemas pelaksanaan perdagangan halal dua hala.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama itu kini memasuki fasa pelaksanaan apabila produk halal Malaysia sudah dieksport ke Indonesia untuk menjalani ujian, manakala logo halal Indonesia turut diterima Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi produk yang dipasarkan di Malaysia.

Katanya, mekanisme berkenaan perlu dilaksanakan sepenuhnya dengan segera, terutama bagi produk halal yang diimport dan dieksport antara Malaysia dan Indonesia.null

“Sekarang, pelaksanaan mesti dilakukan dan saya harap perdagangan dua halal antara Malaysia dan Indonesia mesti dilaksanakan sepenuhnya, terutama produk-produk halal yang kita import dan yang akan kita eksport ke Indonesia,” katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026 bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama itu turut menyaksikan logo halal Indonesia diterima JAKIM bagi produk dari negara berkenaan untuk dipasarkan di Malaysia, menunjukkan kerjasama antara kedua-dua sistem halal sudah diterjemahkan dalam pelaksanaan perdagangan.

“Begitu juga logo mereka adalah juga diterima oleh JAKIM untuk produk-produk mereka dipasarkan di Malaysia. Ertinya kerjasama dua halal ini telah diterjemahkan,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah memberikan keabsahan terhadap perjanjian berkenaan, manakala Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut memberikan keabsahan ketika pertemuan bersamanya di Indonesia minggu lalu.

Katanya, keberadaan beliau di Indonesia minggu lalu turut bertujuan merancang pelaksanaan kerjasama berkenaan supaya produk halal dapat dipasarkan di Indonesia dengan lebih tersusun.

Jelasnya, walaupun mekanisme itu sudah berlaku ketika ini, pelaksanaannya masih belum begitu terancang dan perlu diperkemaskan bagi memastikan produk halal dapat dipasarkan di Indonesia.

“Bila mekanisme itu akan digunakan? Sesegera yang mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata GHaS dan MIHAS 2026 menjana kira-kira AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion) merangkumi jualan sebenar serta potensi jualan.

Beliau berkata, pencapaian itu memperlihatkan peluang yang tersedia menerusi platform halal, selain pentingnya usaha menghubungkan kekuatan negara bagi membuka pasaran, memudah cara pelaburan dan mewujudkan peluang bersama.

Menurutnya, Malaysia membawa pengalaman dalam standard, tadbir urus, kewangan Islam dan kemudahan perdagangan, manakala Indonesia mempunyai skala, kapasiti pengeluaran dan keusahawanan yang boleh memperkukuh ekosistem halal serantau.

Katanya, usaha menghubungkan kekuatan itu menjadi antara tujuan diplomasi halal supaya kepercayaan yang dibina dapat digunakan untuk membuka pasaran dan mewujudkan peluang kepada perniagaan serta masyarakat.

Dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau, Ahmad Zahid berkata, beliau mencadangkan penubuhan dan pelancaran Majlis Halal ASEAN di Malaysia pada September 2027, manakala cadangan Majlis Halal Malaysia-Indonesia menjadi titik permulaan kepada aspirasi lebih luas berkenaan kerjasama halal ASEAN.

Beliau berkata, pasaran halal dunia dijangka mencecah AS$3.3 trilion (RM13.5 trillion) pada 2030, justeru penyelarasan antara agensi dan kerajaan negeri yang mempunyai Taman Perindustrian Halal perlu diperkukuh bagi memastikan produk halal Malaysia dapat dipasarkan ke seluruh dunia.

Ahmad Zahid berkata, penyelarasan itu perlu membabitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), JAKIM dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), selain kerajaan negeri yang mempunyai Taman Perindustrian Halal bagi menghubungkan produk perusahaan halal dengan peluang pasaran lebih luas. -BH Online