SHAH ALAM: Golongan rentan antara fokus utama kerajaan negeri dalam Belanjawan Selangor 2027 yang bakal dibentangkan bagi memastikan limpahan kemajuan ekonomi dinikmati secara adil dan saksama oleh setiap lapisan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau mahu memastikan Selangor bukan sekadar negeri yang dibangunkan dengan ekonomi bagus atau menarik pelaburan tinggi, sebaliknya komited membantu kumpulan tertentu yang memerlukan perhatian.
“Kita ingin memastikan bukan hanya negeri ini dibangunkan dengan ekonomi yang bagus, bukan hanya kita dapat menarik pelaburan yang tinggi, bukan hanya kita dapat kekal sebagai ‘the heartbeat of Malaysian economy’ atau contoh dalam pembangunan kerangka kecerdasan buatan (AI), perniagaan mikro ataupun pembangunan mikro cip ataupun semikonduktor.
“Sebaliknya bagaimana kita melihat aspek dan kumpulan tertentu yang perlu perhatian supaya kemajuan dan pembangunan ekonomi negeri ini dinikmati dengan adil oleh rakyat dalam negeri ini.
“Kita melihat bagaimana kumpulan rentan, ataupun kelompok yang hendak dibantu dengan reputasi negeri yang sudah mempunyai jajaran program sokongan, ‘cash hand out’ dan sokongan daripada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sehinggalah kepada YANIS, termasuk dalam menangani krisis bekalan tenaga yang berlaku pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata ketika merumuskan Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor bersama Menteri Besar Selangor di SICT, Seksyen 14 di sini, hari ini.
Amirudin berkata, sektor pertama belanjawan akan menumpukan kepada kaedah membantu golongan rentan menerusi ekosistem program sokongan yang komprehensif selain memperkukuh rangkaian bantuan sedia ada.
Namun katanya, cabaran ketika ini bagaimana sokongan dan program yang diberikan itu memberikan makna dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh golongan rentan dapat dengan lebih tepat.
“Dalam kerangka melihat kepada kumpulan rentan, sebenarnya kumpulan yang paling atas atau warga emas dan golongan muda menjadi kelompok yang wajar diberikan perhatian.
“Selangor berdepan dengan cabaran hari menua ataupun negeri menua menjelang tempoh terdekat malahan setiap tahun lifespan rakyat meningkat, kadar kelahiran agak-agak,” katanya. -BH Online
