KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperluas jaringan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat antarabangsa menerusi cadangan program pertukaran pelajar antara Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura.
Menerusi kenyataan hari ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata cadangan itu dikemukakan semasa lawatan kerja beliau ke ITE Singapura sebagai sebahagian usaha kementerian memperkukuh jaringan strategik dengan institusi TVET antarabangsa.
Beliau berkata pihak ITE Singapura memberikan maklum balas positif terhadap cadangan berkenaan sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan termasuk peluang pertukaran pelajar selain perkongsian pengetahuan serta amalan terbaik dalam latihan teknikal dan kemahiran.
“Hasrat saya adalah untuk melihat pelajar ADTEC JTM mendapat pendedahan yang lebih luas menerusi program ini… oleh itu, saya telah menyatakan cadangan ini semasa lawatan dan pihak ITE Singapura telah memberikan maklum balas positif.
“Ini bukan sekadar mengenai pertukaran pelajar tetapi bagaimana kita boleh menggunakan kerjasama ini untuk memperkukuh institusi TVET kita, meningkatkan pendedahan antarabangsa dan memastikan latihan yang diberikan sentiasa selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri,” katanya.
Ramanan berkata kerjasama itu juga berpotensi memberi peluang kepada pelajar ADTEC JTM memahami pendekatan latihan teknikal dalam persekitaran berbeza selain membina jaringan serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan pelajar negara jiran.
Selain itu, beliau berkata pembangunan TVET tidak boleh bergerak secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama erat dengan industri serta institusi latihan berkemahiran di peringkat serantau dan antarabangsa.
Beliau berkata perubahan teknologi, automasi, kecerdasan buatan serta kemunculan pekerjaan baharu menuntut institusi TVET sentiasa menyesuaikan kandungan latihan dan pendekatan pembelajaran dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Kita mahu ADTEC JTM terus bergerak ke hadapan… TVET tidak boleh hanya menyediakan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri hari ini tetapi juga mesti mampu melahirkan tenaga mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“Justeru, kerjasama strategik seperti ini penting supaya kita dapat berkongsi kepakaran, mempelajari amalan terbaik dan seterusnya membawa pulang pengetahuan tersebut untuk memperkukuh ekosistem TVET negara,” katanya.
Ramanan juga berkata KESUMA akan mengambil tindakan susulan bersama dengan pihak berkaitan bagi memperincikan mekanisme dan skop program berkenaan sebelum ia dapat direalisasikan.
Turut serta dalam delegasi ITE Singapura ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ITE Dr Goh Mong Song, Pengarah Sekolah Perniagaan dan Perkhidmatan ITE Kolej Tan Wee Kiang, Penolong Pengarah Pejabat Antarabangsa, Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan Jenn Tan serta Eksekutif Kanan Pejabat Antarabangsa, Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan Carol Lim.– BERNAMA
