BATU KAWAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap terus menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentang pada 9 Okt ini bagi membolehkan pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, KKR kini dalam fasa mengumpul input daripada agensi di bawahnya seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.
“KKR dalam mesyuarat minggu lepas sudah memberikan arahan bahawa kita kena buat persiapan tentang Belanjawan 2027, dan apabila kami telah mendapatkan segala input daripada bahagian dan agensi seterusnya kami akan menemui Menteri Kewangan II pada 28 Ogos nanti.
“Saya berharap peruntukan pembangunan untuk KKR dapat ditingkatkan berbanding tahun sebelum ini, kami terima kira-kira RM10 bilion dalam belanjawan tahun lepas dengan RM9 bilion daripadanya merupakan peruntukan pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Cultural Night Run (CNR 2026) di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah malam tadi yang disertai 5,000 peserta termasuk 114 dari 18 negara.
Beliau berkata, KKR melalui LLM turut memperkukuh usaha mewujudkan konsep lebuh raya pintar menerusi penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan, kamera litar tertutup, lorong pintar dan aplikasi navigasi tempatan, TuJu.
Ahmad berkata, TuJu, yang dibangunkan LLM, ialah aplikasi navigasi ketiga di Malaysia selepas Waze dan Google Maps, menawarkan ciri khusus berkaitan perjalanan di lebuh raya dengan menyediakan maklumat seperti paparan CCTV, kadar caj tol, lokasi kawasan Rehat dan Rawat, bantuan kecemasan serta maklumat trafik terkini yang dihubungkan dengan Pusat Kawalan Trafik LLM.
“Pusat Kawalan Trafik LLM melibatkan ratusan CCTV di seluruh 34 lebuh raya yang ada termasuk di kedua-dua jambatan di Pulau Pinang, TuJu juga mempunyai pautan dengan aplikasi KKR dan MYJalan bagi membolehkan pengguna membuat laporan dan aduan berkaitan keadaan jalan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menggalakkan pengguna lebuh raya menggunakan aplikasi TuJu bagi mendapatkan maklumat trafik semasa dan membantu mereka membuat keputusan perjalanan dengan lebih baik kerana terdapat 34 lebuh raya di Malaysia yang dikendalikan 28 syarikat konsesi dengan keseluruhan jajaran melebihi 2,000 kilometer, dengan lebih separuh daripadanya dimiliki PLUS Malaysia Berhad.
Ahmad juga berkata, pelaksanaan Multi Lane Fast Flow yang membolehkan kutipan tol secara aliran bebas tanpa perlu berhenti di plaza tol masih di peringkat pembuktian konsep dan pelaksanaanya ialah usaha antara syarikat konsesi secara perniagaan-ke-perniagaan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.
Penganjuran CNR2026 dijayakan dengan kerjasama strategik KKR, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, ANGKASA, Persatuan Olahraga Amatur Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jambatan Kedua Sdn Bhd serta pelbagai agensi kerajaan, syarikat korporat dan rakan strategik yang lain.– BERNAMA
