GAZA: Serangan udara Israel pada Sabtu memusnahkan gudang ubat-ubatan dan bekalan perubatan milik Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza, selain menyebabkan kerosakan besar pada kemudahan itu dan menjejaskan khemah berhampiran menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan pesawat Israel menyasarkan gudang bekalan perubatan hospital berkenaan, memusnahkannya serta meninggalkan kawah besar di lokasi serangan.
Letupan dan kemusnahan akibat serangan itu turut memaksa puluhan keluarga yang berlindung di khemah berhampiran berpindah.
Menurut WAFA, serangan terhadap gudang itu memburukkan lagi keadaan kemanusiaan dan kesihatan di Semenanjung Gaza yang kini berdepan kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan, selain tekanan yang semakin meningkat terhadap hospital yang beroperasi dalam keadaan amat sukar akibat serangan berterusan Israel.
Tentera Israel terus melancarkan serangan di Semenanjung Gaza dengan menyasarkan pelbagai kawasan ketika keadaan kemanusiaan semakin merosot, di samping serangan berterusan terhadap kemudahan perubatan dan pusat perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
— BERNAMA-WAFA
