Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan prestasi ekonomi Malaysia terus kukuh pada separuh kedua 2026, disokong langkah intervensi kerajaan dan asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata antara langkah diambil kerajaan ialah memastikan bekalan minyak kekal stabil sehingga akhir tahun, yang dijangka membantu mengekalkan momentum ekonomi negara.

“Pertumbuhan ekonomi untuk separuh pertama 2026 sudah mencapai 5.6 peratus. Unjuran setakat ini oleh Bank Negara Malaysia bagi keseluruhan 2026 masih mengekalkan pertumbuhan antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

“Kita harapkan prestasi terbaik untuk separuh kedua tahun ini, tetapi pada masa sama perlu bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Association of Malaysian Economics Undergraduates (AMEU) Economics Summit 2026, di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, Malaysia juga perlu kekal berwaspada terhadap perkembangan geopolitik di Asia Barat, khususnya ketegangan di Selat Hormuz yang masih memberi tekanan terhadap bekalan minyak global.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi negara berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama 2026, didorong prestasi lebih baik sektor perkhidmatan dan pembuatan.

DOSM turut melaporkan ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong pemulihan sektor perlombongan dan pengkuarian, manakala sektor pembinaan terus berkembang.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata, penganjuran Formula 1 (F1) dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya menerusi sektor pelancongan.

Beliau berkata, acara bertaraf antarabangsa seperti F1 yang menarik kemasukan pelancong asing mampu memberi kesan limpahan melalui perbelanjaan mereka dalam negara.

“Malah, hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menekankan bahawa manfaat daripada penganjuran acara besar seperti ini bukan hanya dinikmati segmen tertentu, tetapi perlu diperluas supaya peniaga kecil turut mendapat manfaat,” katanya.

Pada 26 Julai lalu, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP Bahrain) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini, hasil kerjasama antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain. -BH Online