Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan peruntukan pembiayaan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion tahun ini khususnya untuk keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan dan pembangunan usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata bagi membantu PMKS menghadapi cabaran geopolitik global, kerajaan menyediakan SME Stabilisation Relief Fund berjumlah RM5 bilion bagi membantu syarikat yang terjejas akibat ketidaktentuan geopolitik.

“Walaupun kita tidak dapat mengawal harga tenaga di peringkat global, kerajaan boleh mengurangkan kos operasi domestik melalui pelbagai langkah termasuk pengurangan cukai serta bantuan pembiayaan supaya syarikat terus berdaya tahan.

“Kerajaan juga melaksanakan Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) oleh SME Corp Malaysia dengan peruntukan RM207 juta yang merangkumi skim pembiayaan, peningkatan kapasiti dan sokongan kepada PMKS yang terkesan akibat krisis global,” katanya pada sidang media Prestasi PMKS 2025 di sini, hari ini.

Sim berkata, kerajaan akan terus memperkukuh sokongan kepada PMKS bagi membantu sektor itu menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk perang perdagangan dan gangguan rantaian bekalan, di samping memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan lebih banyak syarikat tempatan ke tahap yang lebih besar.

Beliau berkata, Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak dapat mengelak daripada menerima tempias perkembangan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos tenaga serta harga barangan.

Menurutnya, kesan ketegangan geopolitik itu bukan hanya berlaku pada tahun ini, malah telah mula mempengaruhi prestasi PMKS sejak tahun lalu.

“Apabila berlaku perang atau krisis geopolitik, tarif, perang perdagangan dan kenaikan kos tenaga telah pun memberi kesan kepada PMKS sejak tahun lalu.

“Namun, meskipun berdepan pelbagai cabaran, ekonomi negara kekal berkembang dan PMKS mencatat pertumbuhan yang lebih pantas berbanding ekonomi keseluruhan,” katanya.

Mengulas prestasi PMKS pada tahun 2025, Sim berkata sektor itu berkembang 5.7 peratus pada 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM689.8 bilion, berbanding RM652.8 bilion pada 2024, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.

Berdasarkan profil dan prestasi PMKS 2025 yang dikeluarkan SME Corp Malaysia berasaskan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sumbangan PMKS kepada KDNK negara turut meningkat kepada 39.7 peratus berbanding 39.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Eksport PMKS berkembang dua digit sebanyak 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion, mengatasi pertumbuhan eksport keseluruhan negara sebanyak 5.9 peratus serta firma bukan PMKS yang berkembang 5.1 peratus.

Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar dengan 1.08 juta firma, mewakili 83.7 peratus daripada keseluruhan PMKS.

Ia diikuti sektor pembinaan sebanyak 114,612 firma atau 8.9 peratus, pembuatan (69,786 firma, 5.4 peratus), pertanian (23,511 firma, 1.8 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (3,062 firma, 0.2 peratus).

Mengulas hal itu, Sim berkata prestasi ini membuktikan PMKS Malaysia mempunyai asas yang kukuh serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global.

“Cabaran sebenar kita sekarang bukan sekadar melahirkan lebih banyak perniagaan, tetapi memastikan perusahaan mikro berkembang menjadi kecil, perusahaan kecil menjadi sederhana dan lebih banyak syarikat tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, daripada hampir 1.3 juta PMKS di Malaysia yang merangkumi lebih 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan, sebanyak 77.4 peratus masih terdiri daripada perusahaan mikro manakala hanya 1.1 peratus berada dalam kategori sederhana. -BH Online