Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kerajaan negeri menyalurkan bantuan bencana berjumlah RM257,700 kepada 859 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir kilat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput sebagai usaha meringankan beban mangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata setiap KIR yang layak menerima bantuan tunai RM300, selain 1,000 unit tilam yang akan diagihkan kepada semua keluarga terjejas.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) turut memberikan rebat bil air bagi penggunaan bulan ini kepada semua keluarga yang terkesan akibat bencana terbabit.

“Kerajaan negeri memahami kesukaran dihadapi mangsa banjir dan sudah pasti bantuan ini mungkin tidak dapat menampung sepenuhnya kerugian dialami, namun diharapkan dapat meringankan sedikit beban mereka,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam DUN Paya Rumput di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak di sini hari ini.

Majlis diadakan sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat serta Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN berkenaan turut dihadiri EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.

Mengulas usaha menangani banjir, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM7 juta bagi pelaksanaan projek penyelesaian awal yang membabitkan RM2 juta daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menaik taraf sistem saliran serta RM5 juta daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi pembinaan kolam takungan banjir.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut merancang melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Ayer Salak yang dianggarkan bernilai lebih RM100 juta bagi menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh di kawasan terbabit. -BH Online