Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Terminal 1 Seremban rasmi menerima penarafan Gred A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sekali gus memperkukuh ekosistem pengangkutan awam darat di Negeri Sembilan.

Pengiktirafan tertinggi itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan hab pengangkutan awam yang moden, selamat, bersepadu dan diyakini rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penarafan itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan infrastruktur pengangkutan awam mematuhi piawaian tertinggi demi keselesaan pengguna.

“Ia bukan sahaja memperkukuh keterhubungan mobiliti rakyat, malah berupaya merangsang pembangunan ekonomi Negeri Sembilan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Penarafan Terminal Gred A kepada Terminal 1 Seremban, di sini, hari ini.

Menurut Loke, Terminal 1 Seremban yang dilesenkan APAD sejak 1 Ogos 2023 menjadi hab utama di negeri berkenaan dengan menghubungkan perkhidmatan bas ekspres, bas henti-henti, perkhidmatan BAS.MY, teksi serta mempunyai integrasi terus dengan Stesen KTM Seremban.

“Sebagai terminal Gred A, ia mengendalikan antara 150 hingga 180 perjalanan bas sehari membabitkan 84 operator bas dengan jumlah pergerakan mencecah kira-kira satu juta penumpang setahun. 

“Bagi menyokong kelancaran operasi, terminal ini dilengkapi 46 platform merangkumi 20 platform pelepasan, enam platform ketibaan serta 20 platform khas bagi perkhidmatan BAS.MY dan bas henti-henti,” katanya.

Beliau berkata, antara kemudahan moden dan mesra pengguna disediakan di terminal berkenaan termasuklah ruang menunggu selesa, kaunter serta sistem pembelian tiket tanpa tunai, paparan maklumat perjalanan interaktif, kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), kawalan keselamatan kamera litar tertutup (CCTV), surau, ruang parkir dan premis komersial.

“MOT (Kementerian Pengangkutan) terus memperkasakan rangkaian mobiliti rakyat menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di bawah jenama BAS.MY yang berpusat di terminal berkenaan. 

“Perkhidmatan ini memainkan peranan penting menghubungkan kawasan perumahan, institusi pendidikan, hospital dan pusat perniagaan sekitar Seremban serta daerah berhampiran,” katanya.

Katanya, bagi memastikan kesinambungan laluan bas henti-henti terutamanya di kawasan yang kurang menguntungkan tetapi berimpak tinggi kepada masyarakat, Kerajaan turut menyalurkan Dana Bantuan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) berjumlah RM63.175 juta setahun.

“Langkah itu menegaskan komitmen berterusan MOT dalam meningkatkan mutu perkhidmatan terminal dan memperluaskan akses pengangkutan awam yang cekap, inklusif serta mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. -BH Online