KUALA LUMPUR: Kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta semangat kebersamaan yang menjadi amalan rakyat Sarawak terus menjadi kekuatan yang menyatukan Malaysia sebagai sebuah keluarga, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata sambutan Hari Sarawak yang diraikan pada 22 Julai setiap tahun menjadi detik bermakna untuk mengangkat jati diri rakyat negeri itu, menyemarakkan rasa bangga dan mengenang perjalanan sebuah negeri yang telah banyak menyumbang kepada pembinaan Malaysia.
“Sempena sambutan Hari Sarawak tahun ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak serta seluruh rakyat Sarawak atas segala jasa, sumbangan dan komitmen dalam membangunkan negeri serta memacu kemajuan negara.
“Semoga semangat Segulai Sejalai terus menjadi inspirasi untuk kita melangkah seiring, di samping terus memperkukuh perpaduan dan membina masa depan Malaysia yang lebih maju, makmur dan sejahtera.Selamat Menyambut Hari Sarawak. Sarawak Maju Makmur, Segulai Sejalai,” katanya.
Hari Sarawak 2026 disambut hari ini dengan Sibu dipilih sebagai tuan rumah sambutan peringkat negeri yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 Julai hingga hari ini.– BERNAMA
