Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya siasatan lanjut dilakukan khususnya bagi meneliti prosedur kelulusan berkait isu kerugian dana pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam syarikat eFishery, Indonesia.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyokong sepenuhnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah memulakan siasatan terhadap kes penipuan terancang itu.

“Tentunya siasatan harus dilakukan. Sebab itu saya menyokong langkah SPRM untuk meneliti sekiranya ada keterlanjuran atau percanggahan dari segi hukum atau pun unsur rasuah. 

“SPRM harus juga melihat proses pelaburan serta keputusan dibuat oleh panel pelaburan dan akhirnya yang dipersetujui oleh lembaga (KWAP),” katanya menjawab soalan Senator Dr Hajah Wan Martina Wan Yusoff pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman semalam memaklumkan, agensinya menubuhkan sebuah pasukan siasatan bagi meneliti isu kerugian RM200 juta membabitkan pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jika melihat kepada proses kelulusan dana pelaburan ke atas syarikat berkenaan sebelum ini, ia seolah-olah menyaksikan satu kejadian luar biasa. 

“Dua audit bertauliah luluskan, yang ketiga pun luluskan, tak sempat disahkan. Ini tiga syarikat audit terbesar dunia meluluskan. Jadi saya kaji ini, wah.. ini memang ‘kepakaraan’ luar biasa dari Jakarta ini, tetapi dalam penipuan, malangnya.

“Tapi ini pengajaran juga, bahawa walaupun disahkan oleh syarikat audit terkenal dunia, ia tidak menjamin. Kalau kita ambil pengalaman 1MDB (1Malaysia Development Berhad), itu ada penglibatan Goldman Sachs, syarikat kewangan dan audit terkenal dunia, tapi terlibat ‘complicit’ dalam usaha penipuan ini.

“Ini pengajaran, peringatan kepada kita. Tak bergantung pada syarikat audit, sukar untuk dapat kelulusan. Kalau bergantung sepenuhnya, kita lihat ada juga risiko,” katanya.

Anwar berkata, dengan kes penipuan sedemikian, panel pelaburan bagi mana-mana agensi pelaburan termasuk KWAP semakin tercabar, untuk tidak hanya bergantung kepada kepakaran audit saja, sebaliknya melihat juga dari segi nilai peraturan yang ada.

“Sebab itu kalau dalam MADANI ini kita sebut, kepintaran, kepakaran, ‘new technology’, menggapai di langit, itu perlu, tetapi mesti berakar ke bumi dengan nilai dan akhlak,” katanya. -BH Online