KUALA LUMPUR, 19 Julai– Peruntukan berjumlah RM20,000 disalurkan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa pergerakan pengakap di ibu negara
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Presiden Majlis Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata peluang menyertai Pengakap perlu diperluaskan supaya lebih ramai anak muda dapat membina disiplin, keyakinan diri dan semangat berkhidmat kepada masyarakat.
“Sebagai tanda sokongan, saya memperuntukkan RM10,000 kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menganjurkan lebih banyak program semasa cuti sekolah bagi menarik penyertaan golongan muda.
“Hari ini, saya menambah lagi RM10,000 supaya lebih banyak latihan dapat dilaksanakan, khususnya bagi melibatkan belia yang kurang berkemampuan menyertai program Pengakap,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Pingat dan Sijil Pengakap Raja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026.
Menurut beliau, pergerakan Pengakap kekal relevan kerana memberi peluang kepada anak muda mempelajari nilai kepimpinan dan tanggungjawab sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Tambah beliau, pembangunan Kuala Lumpur tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu turut melahirkan masyarakat yang berdisiplin dan berakhlak.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM600 juta bagi menaik taraf bangunan warisan di Kuala Lumpur, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad yang kini menjadi lokasi pelbagai program awam setiap minggu.
Hannah juga mencadangkan agar anggota Pengakap dilibatkan sebagai petugas dalam penganjuran program di Kuala Lumpur bagi mempamerkan disiplin badan beruniform kepada masyarakat, sekali gus menggalakkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak menyertai pergerakan itu. -Berita RTM

