Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Penetapan pingat emas sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) diharap menyuntik semangat baharu kepada atlet untuk terus meningkatkan prestasi dan berusaha mencapai sasaran yang ditetapkan.null

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penetapan itu menjadi langkah progresif bagi memastikan misi Malaysia meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik nanti tercapai.

Beliau berkata, sasaran itu diputuskan selepas pihaknya mengadakan perbincangan secara mendalam bersama Majlis Sukan Negara (MSN) selain mendapatkan maklum balas daripada atlet negara. 

“Saya harap dengan sasaran emas ini menjadi pemangkin semangat baharu kepada atlet untuk kekal maju dan terus cekal bagi memastikan sasaran kita tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Liga Remaja Kebangsaan (LRK) 2026 di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan MSN menggunakan pendekatan baharu dengan menetapkan sasaran pingat emas secara khusus sebagai KPI kepada kontinjen dan atlet negara pada temasya sukan utama.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dilaporkan berkata pendekatan itu bertujuan memberikan sasaran yang jelas kepada kontinjen dan atlet, terutama ketika negara membuat persiapan sebagai tuan rumah Sukan SEA tahun hadapan.

Dr Mohammed Taufiq berkata pihaknya tetap menghargai apa sahaja warna pingat yang diperoleh atlet namun sasaran emas perlu dijadikan matlamat utama dalam usaha meningkatkan pencapaian sukan negara.-BH Online