KUALA LUMPUR: Lebih AS$1.37 bilion aset yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah berkenaan adalah berdasarkan input yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Selain aset yang telah dipulangkan, masih terdapat sejumlah wang dan aset yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang sedang ditahan, dibekukan atau tertakluk kepada prosiding pelucuthakan di Amerika Syarikat serta beberapa bidang kuasa asing yang lain,” katanya menerusi jawapan bertulis Parlimen.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu jumlah wang dan aset hasil penyelewengan 1MDB yang sudah dipulangkan oleh Amerika Syarikat setakat ini, serta baki yang masih ditahan negara itu dan negara lain.
Mengenai jumlah sebenar wang dan aset yang masih ditahan, dibekukan atau tertakluk kepada prosiding pelucuthakan, Azalina berkata, perkara itu tidak dapat ditentukan dengan tepat pada masa ini.
Beliau berkata, ini kerana ia bergantung kepada perkembangan semasa prosiding yang sedang berjalan serta perubahan nilai pasaran aset berkenaan dari semasa ke semasa.– BERNAMA
