BANGI: Bangi Square 2 dijangka menjadi tumpuan ribuan peminat bola sepak apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran Viewing Party dan Semarak Subuh sempena final Piala Dunia 2026 bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, awal pagi Isnin ini.
Program bermula jam 12 tengah malam itu memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan aksi kemuncak antara juara bertahan, Argentina dan Sepanyol menerusi tayangan skrin gergasi dalam suasana penuh meriah.
Penganjur berkata, program itu bertujuan menghimpunkan peminat bola sepak daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi bersama-sama menikmati perlawanan akhir kejohanan paling berprestij dunia.
Selain tayangan perlawanan, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang diatur sebelum sepak mula.
“Program ini bukan sekadar tayangan perlawanan, sebaliknya menjadi platform untuk peminat berkumpul, berinteraksi dan berkongsi debaran menyaksikan final Piala Dunia dalam suasana penuh semangat kesukanan,” katanya.
Antara pengisian utama ialah sesi Borak Bola bersama legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, Farizal Marlias dan Zaquan Adha yang akan berkongsi pandangan mengenai aksi final.
Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan Babah Naden, Ayam Kahau dan Angah Raja Lawak, selain kuiz bola sepak, cabutan bertuah serta pelbagai hadiah menarik.
Bagi memastikan keselesaan pengunjung sepanjang program, penganjur turut menyediakan makanan dan minuman.
Sebaik tamat perlawanan, orang ramai dijemput menyertai program Semarak Subuh bersama Ahmad Zahid di Surau Al-Hamidiah, Kajang sebagai penutup acara. -BH Online
