KUCHING: Datuk Seri Fadillah Yusof meminta semua pihak menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana ia adalah manifestasi pilihan rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat Johor sudah membuat keputusan dan semua pihak, termasuk parti politik, perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka demi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan negeri.
“Keutamaan selepas proses pilihan raya ialah memastikan kerajaan negeri yang dipilih dapat mentadbir dan menguruskan negeri dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
“Rakyat Johor sudah memilih, jadi kita kena hormati. Yang penting ialah selepas pemilihan itu mereka dapat mentadbir, menguruskan negeri mereka dan bergerak ke hadapan demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas majlis penutupan Regata Sejijak di sini, hari ini.
Pada PRN Johor semalam, Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi.
Parti Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Sosialis Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan enam calon Bebasa gagal memenangi sebarang kerusi.
Fadillah berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Katanya, hubungan yang baik antara kedua-dua pihak akan memperkukuhkan usaha memacu pembangunan negeri sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Apabila sesebuah negeri bergerak dengan baik, sudah pasti ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Sebab itu kita perlu menjalinkan hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam masa sama, Fadillah menegaskan semua pihak perlu menghormati proses demokrasi yang memberi hak kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan negeri melalui pilihan raya.
“Yang penting ialah apa juga keputusan yang dibuat, kita mesti terus memberikan khidmat yang terbaik kepada negara dan rakyat. Itulah perkara yang lebih utama,” katanya. -BH Online
