Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 projek pembangunan berjumlah RM1.05 bilion sedang dilaksanakan bagi menyokong peningkatan kapasiti pendidikan tinggi di Sabah. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata Siling Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah sebanyak 160.6 juta.

“KPT bukan saja memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti di Sabah malah memastikan penawaran program sentiasa sejajar dengan keperluan insititusi, keperluan pembangunan negeri, kehendak industri dan aspirasi negara,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) yang meminta menyatakan langkah konkrit Kementerian untuk menambah kapasiti dan kepelbagaian program Institusi Pengajian Tinggi Awam di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan pelajar kepada kampus di Semenanjung yang meningkatkan kos pengajian, sara hidup dan beban kewangan keluarga.

Pada sesi itu, Zambry turut menjawab soalan tambahan Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung bagaimana KPT mahu mempertahankan daya saing universiti awam di peringkat serantau sedangkan dana penyelidikan dikecilkan. 

Selain peruntukan untuk KPT, katanya, kerajaan juga turut meletakkan peruntukan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Kedua-dua kementerian ini akan bekerjasama untuk memastikan sebarang penyelidikan membabitkan kajian asas diberikan bersama-sama.

“Hari ini kita dapati banyak daripada proses penyelidikan itu sudah menghasilkan sesuatu yang baik,” katanya. -BH Online