KUALA LUMPUR: Usaha mengelakkan keciciran dalam kalangan golongan layak menerima bantuan adalah antara tumpuan persediaan kerajaan menghadapi cabaran negara menua menjelang 2040.
Bagi tujuan itu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata cabaran jangka panjang menghadapinya bukan hanya memastikan bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan.
Sebaliknya beliau berkata, cabaran turut membabitkan tindakan untuk mengelakkan bantuan diterima golongan tidak layak.
Selain itu, katanya, agenda negara menua perlu disokong kesinambungan dasar ekonomi dan fiskal serta penyelarasan lima teras utama dibangunkan menerusi Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB).
“Ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara. Kita membangunkan dasar bagi menguruskan cabaran negara menua kerana kita sudahpun menjadi negara menua.
“Ia berdasarkan angka kajian dibuat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menjangkakan Malaysia menjadi negara tua adalah seawal 2043.
“Jadi dalam tempoh ini, banyak perkara perlu diselaraskan supaya bila tiba masanya kita dapat terus memastikan kehidupan dan kesejahteraan rakyat dilindungi sebaiknya,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah kerajaan memastikan bantuan Persekutuan disampaikan secara lebih berkesan kepada rakyat.
Menjawab soalan asal, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru memaklumkan, Malaysia sudah mencapai status negara menua sejak 2021.
Beliau memetik data Jabatan Perangkaan memaklumkan, rakyat berusia 65 tahun ke atas kini melebihi tujuh peratus berbanding keseluruhan populasi.
Peratusan itu, katanya, diunjurkan meningkat kepada 10.4 peratus pada 2035, berbanding lapan peratus tahun lalu, susulan penurunan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) daripada 1.67 kepada 1.60 dalam tempoh sama.
“Justeru, Rancangan Malaysia ke-13 sudah mengarusperdanakan persediaan negara melalui pelaksanaan agenda negara menua dan pembangunan NAB sebagai kerangka jangka panjang.
“Ia merangkumi lima teras utama iaitu ekonomi makro dan fiskal, pekerjaan dan kemahiran, perlindungan sosial, kesihatan sepanjang hayat serta penjagaan jangka panjang.
“Kerajaan terus memperkukuh dasar warga emas negara dan pelan tindakan warga emas negara dengan penekanan kepada penuaan aktif, sihat dan bermaruah.
“Ini termasuk pengukuhan sokongan keluarga dan komuniti, pembangunan persekitaran masa warga emas, peningkatan literasi digital serta pembelajaran sepanjang hayat.
“Kerajaan juga memperkukuh sistem penjagaan jangka panjang melalui pembangunan model penjagaan berasaskan komuniti, ekonomi penjagaan, latihan penjaga profesional dan peluasan perlindungan sosial bagi golongan rentan,” katanya. – BH Online

