Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan pusat transit pekerja asing sebagai langkah proaktif mengurus kemasukan tenaga kerja asing ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pusat transit itu akan berfungsi sebagai lokasi sementara bagi menempatkan pekerja asing yang tiba di Malaysia sebelum diambil oleh majikan masing-masing ke tempat kerja.

Katanya cadangan itu masih di peringkat perancangan dan belum dimuktamadkan, susulan keputusan dibuat Jemaah Menteri pada 1 Julai lalu.

“Langkah ini bagi mengurangkan kesesakan di lapangan terbang selain memastikan majikan yang membuat permohonan pengambilan pekerja adalah majikan sama yang mengambil pekerja berkenaan.

“Kita sedang dalam fasa perancangan dan mengkaji lokasi paling sesuai.

Kita mungkin menggunakan bangunan sementara, tetapi pada akhirnya kita perlu ada pusat transit yang lebih kekal,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

Menurut Ramanan pihaknya menjangkakan pusat transit berkenaan mampu menempatkan antara 1,000 hingga 2,000 pekerja asing pada satu-satu masa.

“Ada yang masuk hari ini, kemudian keluar. Ini bukan penempatan kekal dan bukan juga pusat tahanan, tetapi sebuah pusat transit. 

“Fungsinya hanyalah sebagai tempat peralihan, jadi prosesnya adalah cepat masuk, cepat keluar. Selagi semua dokumen lengkap dan urusan dengan majikan jelas, tiada sebarang isu, maka proses itu akan berjalan dengan pantas. 

“Antara punca menyebabkan kelewatan ialah kes-kes tertentu yang mempunyai masalah atau kesukaran tertentu. Kes seperti ini akan ditangguhkan sehingga isu berkenaan dapat diselesaikan,” katanya. -BH Online