Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Usaha membangunkan kawasan luar bandar tidak boleh hanya membabitkan aspek infrastruktur dan bantuan, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh sepertimana dilakar melalui Agenda Ekonomi Desa Nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata melalui pelan induk tindakan negara itu usaha membawa model pembangunan desa Malaysia ke pentas dunia membabitkan ekosistem lengkap merangkumi ekonomi, keusahawanan, pendidikan, modal insan, infrastruktur, pelaburan, teknologi, pelancongan, koperasi dan kesejahteraan komuniti.

“Apabila kita yakin bahawa komuniti adalah nadi pembangunan desa, maka tanggungjawab kita bukan sekadar memperkasa komuniti di dalam negara.

“Tanggungjawab kita juga untuk membawa suara, pengalaman dan model pembangunan desa Malaysia ke pentas dunia.

“Kita mesti mula berfikir dan bertindak melangkaui batas kebiasaan serta pembangunan luar bandar tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka tempatan atau domestik semata-mata tetapi sebahagian daripada agenda serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di stadium Tun Abdul Razak di Pusat Bandar Jengka, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail.

Tegas Ahmad Zahid, sejak tiga tahun lalu kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk memperkukuh ekonomi desa termasuk membantu produk usahawan desa memasuki pasaran lebih luas, tersusun, berstruktur dan berdaya saing.

Katanya, dalam bidang usahawan desa pula lebih 7,000 usahawan baharu dilahirkan serta 15,000 peluang pekerjaan diwujudkan dan mencatat nilai jualan lebih RM1.77 bilion.

“Pasaran produk desa ke pasaran luar negara juga turut mencatatkan transaksi jualan sehingga RM1.11 bilion sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dalam pembangunan insan, kita juga melahirkan lebih 50,000 huffaz cilik dan mampu menghafaz lebih 10 surah serta memperluas dan memperkemas Maktab rendah sains mara (MRSM) Ulul Albab di seluruh negara,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, suatu ketika dahulu kejayaan pembangunan itu diukur melalui berapa banyak jalan dibina, berapa luas tanah diusahakan dan jumlah hasil pertanian dikeluarkan.

“Kini penanda aras kemajuan luar bandar sudah berubah dan tidak lagi hanya dilihat dalam aspek pembangunan fizikal sahaja.

“Sebaliknya, negara-negara maju meletakkan kekuatan komuniti, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat sebagai asas sebenar kepada kemajuan luar bandar,” katanya.

Pada majlis hari ini Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) 2025 dan dimenangi Kampung Desa Murni Kerdau, Temerloh, serta menerima hadiah RM100,000.

Selain itu, kampung sama turut memenangi Anugerah Khas Pengurusan Mampan dan Anuegarah Khas Aspirasi Profiling Komuniti Desa. -BH Online