BUKIT MERTAJAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memperkemas garis panduan berkaitan pengurusan jenazah bagi dijadikan rujukan di seluruh negara, susulan isu pengurusan jenazah yang tular baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu mengambil kira keperluan semasa serta enakmen dan undang-undang yang berkuat kuasa pada setiap negeri.
“Beberapa negeri telah mempunyai garis panduan masing-masing, namun JAKIM melihat terdapat keperluan untuk menambah baik dan memperkemas agar boleh dijadikan rujukan lebih menyeluruh,” katanya
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Multaqa MADANI Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara di Masjid Timah, Permatang Pauh, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Mengulas mengenai tempoh penyediaan garis panduan itu, Zulkifli berkata JAKIM akan melaksanakannya secepat mungkin tanpa menjejaskan keperluan untuk meneliti aspek perundangan dan enakmen negeri.
“Barangkali tidaklah terlalu lama kerana asas garis panduan itu sudah ada dan kita hanya ingin memperkemas,” katanya.
Mengenai isu tular membabitkan pengurusan jenazah di Selangor baru-baru ini, Zulkifli berkata perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk ditangani dengan sewajarnya.
Beliau turut mengajak semua pihak supaya berlapang dada dan bekerjasama dalam menangani isu berkenaan tanpa menimbulkan perpecahan.
“Kita sama-sama membantu dan yakin perkara ini dapat ditangani sebaiknya,” katanya.– BERNAMA
