Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Laporan penuh siasatan insiden letupan bom tangan yang mengorbankan dua anggota tentera di Gurun, Kedah bulan lalu dijangka diserahkan kepada Kementerian Pertahanan pertengahan bulan ini, kata menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

“Saya difahamkan laporan itu akan diserahkan pada pertengahan bulan ini. Insya-Allah dan saya akan laporkan,” katanya selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Masjid Jamek Al-Faizin, FELDA Air Tawar 2 di sini, hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan kes letupan bom tangan di Lapang Sasar Kem Hobart itu.

Pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar berkenaan.

Satu lagi insiden pada 29 Jun lalu yang menyaksikan dua anggota tentera cedera di kaki ketika menjalani latihan menembak di kem sama.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya turut mengarahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) menilai semula pendekatan dilaksanakan susulan dua insiden letupan yang berlaku di kem sama.

“Kita telah minta supaya pihak TDM menilai kembali pendekatan latihan yang dilakukan termasuk insiden kedua yang berlaku di kem sama. Kita perlu lihat sama ada, ada apa-apa kelemahan lain dan sebagainya. 

“Semua ini hanya akan kita buat keputusan selepas terima segala siasatan,” katanya.-BH Online