Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak layak menerima bayaran interim khas seperti dinikmati kerajaan Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian itu adalah selari persefahaman dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain itu, katanya, proses rundingan bagi pemberian interim khas kepada kerajaan Sarawak kini sedang dilakukan bersama Premier Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Ahli Parlimen Tambun itu juga memberi jaminan rundingan bagi tujuan itu akan diteruskan, selain mengakui jumlah pemberian wajar diberi peningkatan berdasarkan semangat perjanjian MA63.

“Kita masih meneruskan rundingan dengan Sarawak dengan proses terkini diadakan di Bintulu, Kuching.

“Memang kita tidak umumkan (hasil rundingan) kerana mahu memberi tumpuan kepada RM1.8 bilion yang julung kalinya diberikan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) sama ada kerajaan Sarawak layak menerima bayaran interim khas seperti dinikmati kerajaan Sabah. -BH Online