Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) buka 165,501 kertas siasatan berkaitan penipuan dalam talian sejak 2023 hingga Mei 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 60,955 kes diselesaikan dan 24,681 kes dibawa ke mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kes yang disiasat melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) itu membabitkan pelbagai modus operandi, termasuk love scam, penipuan e-dagang dan pelaburan palsu dibawah peruntukan Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Akta Jenayah Komputer 1997.

Dalam tempoh sama, katanya, pihak berkuasa turut menggempur 43,343 operasi khas yang menyasarkan ‘calling centre’ haram di seluruh negara, sekali gus membawa kepada penahanan 44,990 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan.

“Bagi melumpuhkan rangkaian dan kewangan sindiket, pengesanan dan penyitaan aset turut dilaksana mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. 

“Hasilnya, sebanyak RM6.66 juta aset dirampas pada 2025, dan RM2.07 juta lagi bagi tempoh Januari hingga Mei lalu. 

“Rampasan membabitkan wang tunai, kenderaan, serta peranti elektronik,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di lawan sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) berhubung perkembangan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Malaysia serta jumlah aset yang berjaya disita sejak 2023.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, siasatan PDRM turut mengesahkan wujudnya buruh paksa digital di dalam negara, apabila sindiket penipuan dalam talian berevolusi menjadi jenayah siber terancang. 

Katanya, mangsa kebanyakannya dikurung di kondominium mewah, pasport dirampas dan dipaksa bekerja di bawah ancaman fizikal.

Oleh itu, katanya, KDN mengambil tindakan tegas mengikut Akta Anti- Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 bagi menangani eksploitasi dengan izin, scam centre. 

“Bagi tempoh 2023 hingga 31 Mei lalu, 18 kertas siasatan dibuka khusus membabitkan eksploitasi manusia di premis berkenaan.

“Sebanyak 54 dalang dan ahli sindiket ditahan, merangkumi 28 rakyat tempatan dan 26 warga asing.

“PDRM juga berjaya menyelamatkan 178 individu, terdiri daripada 55 rakyat tempatan dan 123 warga asing. 

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 62 orang disahkan sepenuhnya sebagai mangsa eksploitasi, dan diberikan Perintah Perlindungan,” katanya.

Katanya, semua mangsa adalah warga asing dan proses penghantaran pulang ke negara asal mereka dilaksanakan dengan kerjasama erat kedutaan masing-masing,” katanya.- BH Online