KAZAN (Russia): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia di Kazan, Persekutuan Russia, dari 17 hingga 18 Jun ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta para pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.
Sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Russia, yang bermula di Kuala Lumpur pada 1991.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan akan memberi peluang kepada ASEAN dan Russia untuk meneliti semula kemajuan yang dicapai sejak 35 tahun lepas dan merangka hala tuju kerjasama masa depan di bawah Perkongsian Strategik ASEAN-Russia.
Perbincangan dijangka menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerjasama praktikal dalam perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi, budaya, pendidikan, pelancongan dan interaksi langsung antara sesama rakyat.
Pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu perkembangan serantau dan antarabangsa.
Sidang kemuncak itu dijangka menerima pakai empat dokumen utama iaitu Deklarasi Kazan mengenai Ulang Tahun ke-35 Hubungan ASEAN-Russia, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Tenaga, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Kebudayaan dan Pelan Tindakan Komprehensif untuk Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Russia 2026-2030.
Menurut Wisma Putra, dokumen tersebut akan menjadi panduan kerjasama ASEAN-Russia bagi tahun-tahun yang akan datang dan menyokong usaha untuk membina perkongsian yang lebih berdaya tahan dan berorientasikan masa depan.
“Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh hubungan luar ASEAN, mengetengahkan ASEAN Centrality (Kepusatan ASEAN) dan memajukan kerjasama praktikal dengan Rakan Dialog dalam persekitaran global yang semakin kompleks,” maklum kenyataan itu.
Semasa di Kazan, Anwar dijadualkan bertemu dengan Presiden Russia Vladimir Putin dan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov serta mengadakan pertemuan dengan rakan anggota ASEAN untuk membincangkan hubungan dua hala dan isu yang menjadi perhatian bersama. – BERNAMA
