Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ibu bapa boleh dikenakan hukuman dalam sebarang bentuk atau liabiliti secara bersama, jika pelaku kesalahan buli diputuskan bersalah oleh Tribunal Bagi Antibuli, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, ia selari dengan ketetapan yang terkandung dalam Akta Antibuli 2026 (Akta 876), bertujuan memastikan keluarga pelaku kes buli turut memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap salah laku moral dilakukan anak mereka.

“Akta 876 menampilkan kelainan berbanding kes jenayah biasa (yang meletakkan tanggungjawab hukuman dan liabiliti) ke atas pelaku sahaja. Akta ini meletakkan klausa tanggungjawab (terhadap ibu bapa pelaku) bagi isu terbabit dengan pembayaran denda dan sebagainya turut mengikat ahli keluarga pembuli.

“Kita ‘transfer’ (memindahkan) liabiliti menjadikan ‘joint liability’ (liabiliti bersama) kepada keluarga (pelaku),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Tribunal Bagi Antibuli di sini hari ini.

Pada majlis sama, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut melancarkan portal rasmi Tribunal bagi Antibuli untuk membolehkan orang ramai melaporkan sebarang kes buli.

Hadir sama, Pengerusi Majilis Amanah Rakyat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman dan Presiden Tribunal Bagi Antibuli, Nurul Husna Awang.

Tribunal Bagi Antibuli diwujudkan mengikut Seksyen 25 Akta 876 yang bertindak sebagai agensi khusus bagi menangani, mengadili dan memutuskan kes berkaitan salah laku buli secara komprehensif, pantas, dan berkesan.

Pelancarannya muncul sebagai mercu tanda penting dalam komitmen berterusan kerajaan membanteras gejala buli sama ada lisan, fizikal, sosial mahupun siber yang kian meruncing dan mengancam kesejahteraan masyarakat, terutama dalam kalangan generasi muda.

Azalina berkata, Tribunal bagi Antibuli bukan sekadar menyediakan pejabat fizikal, sebaliknya turut ditawarkan secara dalam talian, bertujuan memudahkan mangsa terutama pelajar dan kanak-kanak mengemukakan aduan.

Beliau berkata, sebarang aduan berkaitan kes buli boleh difailkan secara terus kepada Tribunal bagi Antibuli, tanpa memerlukan mangsa atau keluarga membuat laporan polis terlebih dahulu.

“Pendekatan ini penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak mereka serta memudahkan akses kepada sistem keadilan, selain orang ramai digalakkan menggunakan kemudahan melalui platform berkenaan.

“Saya hendak tekankan, walaupun ada pejabat secara fizikal kita mahu menggalakkan masyarakat, terutama kanak-kanak melihat kepada ‘online registration’ (pemfailan aduan secara dalam talian) di dalam portal Tribunal bagi Antibuli,” katanya.

Terdahulu, Nurul Husna dalam sesi Taklimat Pengenalan berkata, Seksyen 43 Akta 876 memperuntukkan pampasan maksimum RM250,000 kepada mangsa kes buli.

“Pelaku juga tertakluk kepada jenis perintah lain, sama ada permohonan maaf, hapus kandungan siber, bayar perbelanjaan munasabah, pampasan atau ganti rugi serta menghadiri sesi kaunseling.

“Prosiding tribunal juga dijalankan secara tertutup, sama ada secara fizikal, dalam talian atau hibrid dengan keseluruhan prosesnya mesra kanak-kanak,” katanya. – BH Online

INFO

Enam Zon Strategik Tribunal bagi Antibuli: 

● Utara – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak

● Selatan – Negeri Sembilan, Melaka, Johor

● Pantai Timur – Pahang, Terengganu, Kelantan

● Tengah – Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya

● Sabah – Sabah, Labuan

● Sarawak

Tempat Pendengaran mengikut Agensi:

● Kementerian Pendidikan – sekolah atau pejabat pendidikan daerah

● Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah – Bangunan MARA di pejabat negeri

● Kementerian Pertahanan – bilik mesyuarat atau persidangan di kem

● Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – premis Jabatan Kebajikan Masyarakat

● Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan – bilik bicara di mahkamah negeri

● Jabatan Kehakiman Syariah – bilik Sulh atau mahkamah syariah

● Jabatan Bantuan Guaman – bilik mesyuarat di pejabat negeri

● Jabatan Insolvensi – bilik mesyuarat di pejabat negeri