SIPITANG: Hubungan antarabangsa yang baik serta kestabilan politik membolehkan Malaysia terus mendapatkan bekalan minyak dan gas meskipun dunia kini berdepan ketidaktentuan susulan krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar diplomatik yang bijak membolehkan negara luar seperti Russia dan Turkmenistan menganggap Malaysia sebagai sebuah negara sahabat yang sangat dekat.
Berkongsi pengalaman semasa mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan baru-baru ini, beliau berkata pemimpin negara berkenaan menyatakan kesediaan mengoperasikan satu daripada telaga gas terbesar di dunia bersama Malaysia melalui Petronas.
“Negara kita mengambil sikap bersahabat dengan semua termasuk dengan Amerika Syarikat dan China, selain keadaan politik dalam negara yang stabil, tidak bergegar atau bergaduh antara kaum,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Sabah Southern MADANI Link di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Anwar berkata kestabilan politik menjadi kunci utama bagi memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan selain terus menarik kemasukan pelabur luar ke dalam negara.
“Sebab itu dalam masa yang lalu, saya beri sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji kerana saya fikir cukuplah kita berbalah dalam banyak isu, tetapi politik negara ini harus stabil kerana kalau tidak stabil, orang tidak akan melabur,” katanya.
Mengulas perkembangan global, Perdana Menteri berkata dunia kini berada dalam keadaan terumbang-ambing akibat krisis kekurangan bekalan tenaga berikutan konflik di Asia Barat yang turut menjejaskan laluan Selat Hormuz hingga menyebabkan harga minyak dunia melambung tinggi.
Beliau berkata situasi itu menyaksikan beberapa negara termasuk dalam kalangan anggota ASEAN terpaksa mengambil tindakan drastik dengan menutup operasi sekitar 400 stesen minyak kerana kekurangan bekalan.
“Kita bersyukur dalam keadaan itu pun harga minyak murah… Malaysia kekal RM1.99. Kita ada masalah diesel kita naikkan harga sedikit tetapi untuk seperti pertanian, bas, pengangkutan tidak. Ini kerana kita harus sedar apapun masalah jangan bebankan rakyat,” katanya. – BERNAMA
