KUALA LUMPUR: Seramai 1.88 juta rakyat negara ini sudah menerima manfaat menerusi program MySalam dengan jumlah tuntutan dibayar mencecah RM1.423 bilion sejak diperkenalkan 2019 hingga 31 Disember 2025.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan skim perlindungan kesihatan percuma yang disediakan kerajaan khusus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang layak.
Beliau berkata, daripada pecahan manfaat diberikan itu, seramai 1.294 juta penerima menerima manfaat hospitalisasi dengan jumlah bayaran RM394.87 juta.
“Bagi manfaat penyakit kritikal pula, seramai 89,085 penerima menerima bayaran berjumlah RM712.68 juta, manakala seramai 13,128 penerima mendapat manfaat tuntutan peranti perubatan dengan jumlah pembayaran sebanyak RM65.257 juta.
“Angka berkenaan menunjukkan MySalam terus memainkan peranan penting dalam membantu rakyat mengurangkan beban kewangan ketika berdepan masalah kesihatan dan penyakit kritikal,” katanya pada sidang media hari ini.
MySalam dikelolakan Kementerian Kewangan dilancarkan pada 2019 dengan dana berjumlah RM2.37 bilion.
Penerima layak terdiri penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pasangan mereka berusia sehingga 65 tahun dan mereka boleh menikmati tiga bentuk manfaat utama di bawah MySalam.
Manfaat pertama ialah bantuan hospitalisasi sebanyak RM50 sehari bagi tempoh maksimum 14 hari atau sehingga RM700 setahun.
Manfaat kedua membabitkan bayaran sekali gus sehingga RM8,000 kepada penerima yang disahkan menghidap satu daripada penyakit kritikal yang dilindungi di bawah skim berkenaan.
Ketiga ialah tuntutan kos peranti perubatan sehingga maksimum RM30,000 bagi penerima yang layak.-BH Online
