Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Krisis di Asia Barat membuka peluang ekonomi baharu kepada Malaysia, khususnya dalam sektor minyak dan gas, dengan potensi perolehan mencecah sekitar AS$1.5 bilion (RM7 bilion).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembangunan semula fasiliti minyak, gas dan petrokimia di rantau itu dianggarkan menelan kos antara AS$42 bilion hingga AS$58 bilion.

“Ini merupakan peluang yang realistik untuk syarikat Malaysia, khususnya dalam sektor Oil and Gas Services and Equipment (OGSE), untuk mengembangkan pasaran mereka di peringkat global,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Krisis Bekalan Global pada Khamis.

Akmal berkata, industri OGSE tempatan mencatatkan hasil RM94.5 bilion pada 2024, termasuk RM23 bilion eksport, serta menyokong lebih 123,000 pekerjaan.

Tambahnya lagi, kerajaan bersedia menyediakan sokongan melalui hubungan diplomatik dua hala bagi membantu syarikat tempatan mendapatkan akses kepada projek di rantau tersebut.

Dalam masa sama, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kapasiti syarikat tempatan serta menyelaras usaha penembusan pasaran luar negara.

Jelas Akmal lagi, agensi itu juga akan bekerjasama dengan MATRADE dan persatuan industri untuk memastikan peluang tersebut dapat diterjemahkan kepada kontrak dan hasil sebenar.

Dalam pada itu beliau berkata, pendekatan kerajaan bukan sekadar mengurus risiko krisis global, tetapi juga memanfaatkan peluang yang muncul daripadanya.

“Krisis ini membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh daya saing industri dan memperluas kehadiran di pasaran antarabangsa,” katanya.-Astro Awani