Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan dana sehingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sehingga RM50 juta untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat dengan syarat majikan dan pihak industri bekerjasama dengan kerajaan berikutan mereka adalah pihak yang bakal mendapat manfaat daripadanya.

Beliau berkata, ketika ini ada syarikat tempatan yang mencatat keuntungan besar dan luar biasa namun latihan serta pendedahan anak muda terhadap TVET masih hambar.

Katanya, kerajaan menjalankan latihan dalam bidang TVET dengan dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa menerima suntikan modal daripada syarikat yang kemudian memanfaatkan tenaga kerja terlatih itu.

“Sekarang ini umpamanya, kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada dana program berimpak tinggi di bawah PTPK digunakan untuk TVET 2.0. Jadi maknanya kita tambah dengan kemudahan ini. 

“Syaratnya, ada syarat, majikan dan industri bekerjasama dengan Kerajaan khususnya dalam Majlis TVET Negara untuk menjayakannya, supaya ada penyelarasan. Ini akan juga menambah, perbaiki mengenai program latihan dan pendedahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Belanjawan 2026 sebelum ini memperuntukkan RM650 juta untuk PTPK bagi tahun ini. 

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, syarikat swasta dan pemain industri yang mendapat manfaat daripada lulusan TVET negara juga perlu memberi lebih ruang latihan untuk bidang berkenaan.

“Kalau dia perlukan 60 jurutera dalam dua tahun lagi, apa salahnya kalau dia juga berikan ruang pendedahan atau bantuan kepada anak-anak ini dengan syarat anak-anak ini bekerja dengan mereka.

“Itu kita berikan ruang yang secukupnya. Ada syarikat-syarikat yang memulakan program itu, tetapi saya tidak fikir ia cukup membanggakan,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak untuk mengimbangkan pembangunan kemahiran termasuk dalam bidang AI dengan penerapan nilai, akhlak serta aspek kemanusiaan bagi melahirkan modal insan yang holistik.

Beliau berkata, institusi pendidikan dan latihan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada penguasaan kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu memastikan pelajar dibentuk sebagai individu yang berdisiplin, berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Jadi ini saya nak tekankan kerana kadang-kadang kita dalam kesibukan dan keasyikan kita dalam menumpukan isu pembangunan kemahiran keterampilan, kita (jangan) tinggalkan nilai asasi kemanusiaan,” katanya.-BH Online