Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia memilih untuk tampil unik di persada global dengan meletakkan aspek nilai, etika dan moral sebagai teras pembangunan negara di sebalik keghairahan mengejar kemajuan teknologi moden.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun dunia hari ini rancak membicarakan soal transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga, aspek kemanusiaan serta pegangan agama tidak boleh sesekali diabaikan.

“Semua negara bicara soal pembangunan, digital, teknologi dan inovasi. Tetapi kita menekankan soal nilai dan etika yang sebenarnya berakar kepada kepercayaan agama, sesuatu yang telah banyak ditinggalkan oleh kefahaman Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Wacana Harmoni Madani sempena sambutan Hari Wesak di Menara Ken, Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, walaupun Barat memperjuangkan konsep kebebasan, ia sering kali gagal diangkat sebagai tonggak utama (thrust) dalam pembinaan sesebuah negara.

Justeru, beliau menegaskan pendekatan di Malaysia adalah berbeza bagi memastikan rakyat kekal berpaksikan nilai murni di tengah-tengah arus pemodenan.

“Sambil kita bercakap tentang inovasi, transformasi digital dan AI, kita mesti kekal teguh mempertahankan pegangan iman, nilai moral dan etika kita.

“Inilah yang menjadikan kita unik sebagai sebuah negara. Dalam usaha mencapai pembangunan dan perubahan, kita mesti memastikan kita kekal sebagai manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan dan saling menghormati,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata pengabaian terhadap nilai murni telah menyebabkan dunia menyaksikan pelbagai tragedi kemanusiaan dan kekejaman sesama manusia tanpa rasa bersalah, yang disifatkannya sebagai ‘penyakit hati’.

Bagaimanapun, beliau menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa pandangan tersebut menggambarkan dirinya bersikap anti-Barat.

Menyingkap sejarah, Anwar menjelaskan bahawa pengasas awal Amerika Syarikat sendiri pernah menekankan kepentingan aspek dalaman manusia menerusi konsep ‘habits of the heart’ (kebiasaan hati) yang diutarakan oleh sarjana Perancis, Alexis de Tocqueville.

“Sama ada ia bersifat Buddha, Islam, Konfusianisme mahupun Kristian, nilai-nilai ini kini kian hilang. Ia bukan sahaja tidak diamalkan, malah tidak lagi dibincangkan (di Barat).

“Apa yang dipraktikkan hari ini hanyalah isu-isu praktikal dan apa yang mendatangkan keuntungan politik, bukannya nilai atau etika,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Anwar menyatakan rasa kagum dan menyambut baik komitmen para pemimpin agama di negara ini yang terus konsisten untuk terlibat sama dalam wacana bagi memartabatkan nilai kemanusiaan demi keharmonian negara.-Astro Awani