Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kebajikan serta masa depan pekerja gig terus menjadi perhatian kerajaan MADANI menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, peningkatan kemahiran dan peluang pembangunan kerjaya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, antara usaha dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) dengan peruntukan RM20 juta bagi membantu meningkatkan daya tahan ekonomi pekerja.

Beliau berkata, Program Kecerdasan Buatan (AI) MyMahir bernilai RM110 juta yang memberi pendedahan kepada kemahiran berkaitan teknologi AI, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pekerja gig termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

Katanya, pekerja gig juga berpeluang mengikuti latihan teknikal menerusi ADTEC Jabatan Tenaga Manusia (JTM), di samping memanfaatkan platform MYFutureJobs oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya yang lebih luas.

“Kebajikan serta masa depan pekerja gig terus menjadi perhatian kerajaan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, peningkatan kemahiran dan peluang pembangunan kerjaya. 

“Inisiatif baharu ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pekerja gig termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing,” katanya, di sini. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan hampir 1,000 rakan pemandu dan penghantar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh, hari ini. 

Dalam pada itu, Ramanan berkata, sebuah portal e-aduan pekerja gig turut diwujudkan bagi memudahkan akses kepada maklumat berkaitan hak pekerjaan, perlindungan sosial serta saluran aduan secara lebih sistematik.

Portal e-aduan diwujudkan susulan kelulusan Akta Pekerja Gig 2025. 

“Pembangunan sektor gig perlu digerakkan secara bersama oleh kerajaan, syarikat penyedia platform dan pekerja sendiri agar ekosistem pekerjaan yang diwujudkan lebih stabil, inklusif dan mampan untuk jangka panjang,” katanya.-BH Online